Pages

 

Dari Meja Konsultan: Berbaju kurung ke temuduga – boleh ke?

Salam hormat pembaca sekalian, 

Artikel kali ini saya dedikasikan khas kepada kaum hawa, terutama adik-adik yang bakal menghadiri temuduga pertama. Saya mendapat banyak e-mel dan pertanyaan semasa menjalankan program berkenaan pakaian yang sesuai untuk ke temuduga. Rata-ratanya daripada adik-adik yang baru sahaja tamat pengajian – fresh graduate dan kebanyakan yang bertanya adalah golongan hawa. 

Yang paling menarik, soalan yang paling kerap diajukan kepada saya adalah, “Boleh tak saya pakai baju kurung ke temuduga?” 

50-50, ya dan tidak. 

Saya mempercayai bahawa apa yang kita pilih untuk pakaikan ke badan kita melebihi sekadar sebuah pakaian. Pakaian yang kita pilih mempunyai mesej tersendiri yang cuba kita sampaikan kepada orang lain. Mesej ini jika tidak dipadankan dengan situasi, gerak laku dan gaya pembawaan diri yang sesuai akan menjadi janggal. 

Semasa saya mendalami bidang Professional Image Consulting, saya pernah diberitahu tentang sebuah kata-kata yang berbunyi ‘YOU ARE WHAT YOU WEAR’. 

Jika anda mahu pekerjaan yang profesional, berpakaianlah secara profesional dan paparkan imej serta etika yang profesional. Ini kerana penilaian orang lain terhadap kita semasa temuduga sudah pun bermula hanya dengan memerhati imej kita, tanpa perlu terlebih dahulu berkata-kata. 

Fikirkan jika anda seorang majikan yang bakal menemuduga seorang fresh graduate, imej yang bagaimana pula yang mahu dan tidak mahu anda lihat? Biar saya beri jawapannya. 

Mana-mana majikan sebenarnya sudah mempunyai pandangan tersendiri berkenaan imej yang mahu mereka lihat pada orang yang bakal ditemuduga, apatah lagi terhadap seorang fresh graduate. Paling utama, mereka menjangkakan perkara berikut: 
  • Imej yang profesional, dihormati dan meyakinkan.
  • Bukan imej yang boleh melabelkan anda masih seorang pelajar (walaupun anda baru sahaja habis belajar, penemuduga tetap menjangkakan anda sudah tahu gaya dan tatacara orang yang berkerjaya).
  • Imej yang tidak berlebih-lebihan (warna yang terang, aksesori yang terlampau banyak, wangian yang terlalu kuat, high fashion).

Dengan perkara-perkara yang dinyatakan di atas, adakah dengan berbaju kurung ke temuduga boleh menyerlahkan imej yang dimahukan oleh mana-mana majikan? 

Baju kurung sesuai jika baju kurung anda mempunyai ciri-ciri yang saya panggil ciri-ciri korporat. Maksudnya, bukannya baju kurung yang anda pakai sewaktu mahu ke kuliah atau baju kurung yang anda pakai di pagi raya. Ciri-ciri korporat baju kurung adalah: 
  • Warna cerah (pastel color) dan bukan warna terang. 
  • Gabungan warna yang terdapat pada baju kurung dan tudung tidak harus melebihi 3 warna. 
  • Baju kurung polos (tiada corak), dipadankan dengan tudung bercorak ringkas. 
  • Jika anda memilih baju kurung yang bercorak, pastikan coraknya ringkas – bukan bercorak bunga (pattern) yang besar. 
  • Tidak jarang. 
  • Saiz yang sesuai dengan saiz badan anda – tidak terlalu besar atau terlalu sempit. 

Sukar bukan? Oleh sebab itulah, saya sering menekan kepada adik-adik yang bakal menghadiri temuduga pertama (dan seterusnya) untuk memakai pakaian berikut:

  • Baju kemeja lengan panjang, warna polos (plain color).
  • Padankan dengan blazer berwarna gelap, jika boleh. Anda akan kelihatan lebih baik!
  • Tudung dan aksesori yang berpadanan dan ringkas.
  • Seluar panjang (slack) hitam.
  • Kasut hitam bertutup dan bertumit (pump shoes).

Show the best of you during the interview! Jika anda paparkan imej yang biasa-biasa sahaja, penemuduga/bakal majikan anda boleh fikirkan - itu sahajalah yang terbaik mampu anda lakukan untuk menunjukkan komitmen anda. 

Salam maju jaya! 

Dari meja konsultan,