Pages

 

Dari Meja Konsultan: (Bahagian 1) 'Buang masa je ambil degree 3-4 tahun...'

Salam pembaca budiman,

Kali ini saya ingin bawakan satu soalan yang diajukan oleh salah seorang pembaca. Soalan ini dihantar oleh beliau di ruang soal jawab dan saya berpendapat adalah lebih baik saya kongsikan jawapan saya di sini memandangkan ianya antara soalan yang paling kerap ditanya kepada saya.

Ini soalan beliau:

Kak Mary,

Saya bekas pelajar SMKBB Sg. Buloh dan pernah mengikuti program CCP (Career Coaching Programme) akak. Saya just nak tanya, kebanyakkan forum yang saya baca berkaitan kerjaya ramai yg komplen tentang susah dapat kerja... buang masa je amik degree 3-4 tahun..

So jawapan nya... sume sambung amik master plak.. pada yg berkemampuan ok la tu.. tp apa yg saya nampak tak ke sama lepas amik master lg susah nak dapat keje? at least degree lg murah gaji dr master.. so majikan mesti teragak2 utk amik org master dengan langsung xde pengalaman keje..

Soalan saya.. saya skarang dalam proses untk sambung blaja..cuma x sure nk amik jurusan apa..

Adakah faktor jurusan yg diambil nanti merupakan faktor utama ramai graduan yg menganggur?

Minta pandangan Kak Mary..

Thanks.
Ex-SMKBBSB


Ini jawapan saya kepada semua pembaca:

Terdapat beberapa info penting daripada soalan ini yang perlu saya tekankan terlebih dahulu:
  • ramai yg komplen tentang susah dapat kerja... buang masa je amik degree 3-4 tahun..
Pemahaman 'buang masa' dalam konteks ini adalah tidak wajar. Apabila berdepan dengan kesukaran mendapat pekerjaan, tidak munasabah terus menyalahkan degree yang telah dipelajari bertahun-tahun. Saya rasa ini tindakan orang yang dangkal pemikiran. Apatah lagi jika pemahaman sebegini datang daripada golongan yang dikategorikan berpelajaran tinggi.

Proses pembelajaran yang kita lalui sejak tadika, sekolah rendah, sekolah menengah sehingga ke peringkat universiti adalah proses mendapatkan ilmu. Ilmu yang digunakan dengan bijaksana akan membawa manfaat. Tanggapan kita silap jika hanya mengandaikan segulung ijazah akan memberi jaminan kepada sebuah kerjaya.
A (college) degree is not a sign that one is a finished product but an indication a person is prepared for life ~ Edward A. Malloy.
Isu susah dapat kerja pula isu yang perlu diteliti secara individu. Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan seseorang itu sukar mendapat pekerjaan. Melalui program yang saya anjurkan dan kajian tentang perkara ini melalui perspektif majikan, antara punca kesukaran mendapat pekerjaan adalah: 

Tiada strategi betul dalam proses mencari kerja - Ya! Anda perlukan strategi dalam mencari kerja. Sama jugalah seperti belajar. Strategi belajar yang betul meninggikan potensi untuk mendapat keputusan pelajaran yang baik. 

Ramai yang saya temui sekadar menulis satu resume dan menghantar resume yang sama ke berpuluh-puluh syarikat. Kemudian mereka menunggu jawapan dan akhirnya kecewa apabila hanya dipanggil ke satu atau dua temuduga. Lebih kecewa apabila mereka gagal dalam temuduga tersebut. Jika ini strategi anda, saya kira anda perlu belajar strategi yang betul.


Resume yang tidak ada 'umph'! - Resume bukan sekadar biodata yang anda tulis seperti mahu berkenalan dengan kawan baru. Resume juga bukan jaminan anda pasti akan ditemuduga dan mendapat pekerjaan. Resume ini bolehlah kita umpamakan seperti iklan. Ringkas, padat, menarik dan menimbulkan rasa ingin tahu. Resume yang bagus akan melayakkan anda untuk ditemuduga dan proses temudugalah yang menjadi platform penentu sebelum anda diambil bekerja. Jika resume tidak mantap dan tiada daya penarik, amat tipislah peluang dipanggil ke temuduga dan hampir tiadalah peluang untuk mendapat kerja.


Kemahiran berkomunikasi yang lemah - Memetik kata-kata Datuk Maznah Hamid: "Jika dari segi akademik, individu itu hebat, namun lemah dari aspek komunikasi, ia tetap tidak akan membantu kejayaan individu itu, justeru kemahiran (komunikasi) ini perlu dikuasai." Majikan tidak akan hanya melihat gred 'A' pada subjek bahasa Inggeris, sebaliknya mereka mahu anda bijak berkomunikasi dalam bahasa tersebut. Jangan pandang ringan perkara ini, jika anda masih segan, takut, malu dan tidak berani untuk berkomunikasi, ambil inisiatif segera untuk mempelajari kemahiran ini.

Jika diperhatikan tiga perkara yang saya highlight di atas tidak secara langsung berkait dengan mana-mana degree sekalipun. Ini adalah kemahiran ekstra yang perlu dipelajari oleh sesiapa yang inginkannya. Jika anda melihat kesukaran mendapat pekerjaan sebagai satu masalah, maka carilah jalan penyelesaiannya, bukan dengan meletakkan alasan pada degree atau pada perkara lain.
So save ourselves some frustration today and try to learn to stop blaming other things. Focus instead on improving ourselves and we may find ourselves living a happier life.