Saya mendapat banyak maklumbalas berkaitan teknik menulis resume untuk pelajar lepasan sekolah atau diploma. Baik, saya akan ulas secara ringkas untuk artikel kali ini.
Ketiadaan pengalaman mungkin menjadi isu utama untuk seorang pelajar lepasan SPM atau diploma dalam usaha untuk menulis resume yang baik. Namun dengan teknik yang betul, penulisan resume yang efektif untuk golongan daripada kategori ‘kurang pengalaman’ ini masih tidak mustahil.
Jika ini pertama kali anda menulis resume, panduan yang akan saya tulis ini juga amat berguna untuk anda. Pengalaman mungkin sesuatu yang penting, tetapi lebih penting untuk mengetahui apa yang anda mahu paparkan kepada bakal majikan atau sesiapa yang bakal membaca resume anda. Resume adalah iklan tentang diri anda. Iklan yang baik menyampaikan mesej yang betul dan menyebabkan penonton bertindak berdasarkan apa yang diiklankan.
Begitu jugalah dengan resume anda! Perkara-perkara berikut mesti ada pada resume anda:
- Pengenalan (Heading) – mengandungi maklumat ringkas tentang diri anda. Bahagian ini mengandungi nama, alamat, nombor telefon terkini dan alamat e-mel anda.
- Pendidikan dan Latihan (Education and Training) – mengandungi maklumat di mana anda belajar serta pencapaian anda dalam penilaian utama seperti SPM, PMR dan lain-lain. Tulis bilangan subjek yang mendapat A dan B sahaja, selain daripada itu tidak perlu. Jika anda pernah mengikuti latihan yang boleh meningkatkan kredibiliti diri anda, sertakan maklumatnya sekali.
- Aktiviti dan Penglibatan (Activities and Involvement) – mengandungi maklumat keahlian anda dalam persatuan, kelab dan jawatan yang anda duduki seperti ketua kelas, pengawas, pembimbing rakan sebaya dan lain-lain.
- Pencapaian (Achievement) – mengandungi pencapaian anda dalam bidang selain akademik seperti sukan, pertandingan berbentuk ilmiah seperti debat, pidato, syarahan, forum atau lain-lain. Ini meliputi peringkat sekolah atau peringkat yang lebih tinggi daripada itu.
- Sumbangan Komuniti dan Pengalaman Kerja (Community Service and Working Experience) – selain daripada terlibat dengan pelbagai aktiviti di peringkat sekolah, anda juga mungkin aktif memberikan sumbangan di luar sekolah. Sertakan maklumat ini. Dalam bahagian ini juga anda digalakkan menyatakan pengalaman kerja anda. Tidak semestinya pengalaman ini berbentuk kerja yang berbayar. Jika anda terlibat membantu perniagaan kecil-kecilan keluarga anda, ianya juga boleh disertakan.
- Rujukan (Reference) – adalah lebih baik jika anda boleh sertakan sekurang-kurangnya satu nama individu profesional seperti guru kelas, kaunselor atau majikan (jika ada) di akhir resume. Ini menambah nilai kepada resume anda. Pastikan nama yang akan sertakan sudah mengetahui bahawa namanya tertera di dalam resume anda. Jika tidak, maklumkan pada beliau. Nama rujukan ini mungkin akan dihubungi untuk mendapat maklumat lanjut berkaitan diri anda.
Sebelum menulis resume, anda dinasihatkan menulis rangka resume terlebih dahulu untuk mengelakkan anda tertinggal maklumat penting dalam resume. Saya nasihatkan agar anda memastikan resume anda:
- Ditaip, bukan tulis tangan.
- Tidak melebihi satu mukasurat. Melainkan anda mempunyai penglibatan dan pengalaman kerja yang banyak, maka dua mukasurat dibenarkan.
- Pilihan jenis dan saiz tulisan yang sama. Cadangan – font Arial bersaiz 11. Cuma nama anda pada bahagian pengenalan dibenarkan untuk ditaip dengan saiz tulisan yang lebih besar.
- Menggunakan Bahasa Inggeris, melainkan diminta dalam Bahasa Melayu.
- Maklumat disusun dengan teknik mendahulukan yang terkini.
- Jika mempunyai terlalu banyak maklumat, pilih maksimum 5 maklumat yang terkini.
- Jangan terlalu banyak white space akibat paragraph yang mempunyai jarak yang besar.
Berikut saya sertakan satu contoh resume sebenar (cuma saya tukarkan nama dan maklumat peribadi pemilik resume ini). Adik ini menghadiri program saya dan kemudian menghantar resume yang disediakan sendiri oleh dirinya untuk dinilai oleh saya. Ternyata resume ini menepati semua teknik yang saya terangkan. Malah, bagi mereka yang pertama kali menulis resume, saya berikan adik ini 4 bintang.
klik untuk paparan lebih jelas. |
Semoga anda juga mampu menulis dengan baik. Sampai jumpa lagi.
Dari meja konsultan,