Pages

 

Dari Meja Konsultan: Anda adalah produk

Selamat membaca kembali,

Proses mencari pekerjaan boleh diumpamakan seperti strategi pemasaran. Manakala iklan pula umpama resume. Dalam zaman masa kini, produk yang hebat tanpa strategi pemasaran yang betul dan iklan yang berkesan akan gagal menemui pembeli sasaran. 

Maka dalam proses mencari pekerjaan di mana anda adalah produk yang diperkenalkan, strategi pemasaran diri anda dan iklan anda memainkan peranan yang amat penting.


Strategi pemasaran yang bijak memerlukan persediaan, kajian dan penambahbaikan yang berterusan. Ianya dimulakan dengan:
  • Memahami target pembeli (dalam hal ini ialah majikan atau syarikat)
  • Mengenalpasti kriteria produk yang diperlukan oleh pembeli
  • Meningkatkan kualiti produk supaya setaraf dengan kemahuan pembeli
  • Mendapatkan kredibiliti, pengiktirafan atau testimoni (dalam hal ini ialah pengalaman, kemahiran dan pihak rujukan anda) yang boleh meningkatkan lagi prestij dan kualiti produk
  • Menyediakan pembungkusan (packaging) dan jenama (dalam hal ini ialah imej dan penampilan) yang sesuai untuk produk
  • Memastikan produk boleh berfungsi atau digunapakai seperti mana yang akan diiklankan
Seterusnya adalah proses pengiklanan. Mesej iklan perlu sampai kepada pembeli sasaran. Mesej yang salah boleh menyebabkan produk tidak laku. Iklan yang berkesan perlu ringkas, tepat dan menyebabkan penonton iklan tersebut bertindak. Dalam hal ini, tindakan tersebut sudah pastilah dengan membeli produk yang diiklankan. Atau setidak-tidaknya menimbulkan rasa ingin tahu dan mahu mencuba produk tersebut.

Selain daripada itu, iklan juga harus dipaparkan atau diletakkan di tempat yang sesuai. Jika lokasi pengiklanan tidak tepat akan menjadi sia-sialah iklan tersebut. Rugilah masa, tenaga dan wang yang dilaburkan untuk menyediakannya.

Oleh itu, jika anda sedang dalam proses mencari pekerjaan, bayangkan diri anda umpama produk. Apakah produk yang melambangkan diri anda? Bagaimanakah strategi pemasaran anda? Bagaimana pula struktur iklan anda?

Dari meja konsultan,